Tokoh Animasi Malaysia




Temubual Oleh: Nizam Zakaria

Petikan temubual Nizam Zakaria bersama
Hassan Abd. Mutalib...

Nizam Zakaria
"Sebelum kita mulakan wawancara ini, boleh saudara Hassan terlebih dahulu memperkenalkan diri saudara kepada kita semua. Maksud saya, pekerjaan saudara, tempat asal serta latar belakang pendidikan saudara..."


Hassan Abd. Mutalib
Lahir 3 Nov 1945, Alor Setar, Kedah. Berpindah ke Jelutong, Pulau Pinang pada tahun 1950. Mendapat pendidikan di SEKOLAH MENENGAH GEORGETOWN sehingga Tingkatan 5. Gagal SPM 1963 (9F bagi 7 subjek, 7P dalam Senilukis, 1A dalam B Inggeris - baca buku 'adventure' sahaja bukan buku teks). Datang ke KL tahun 1964. Berkerja di Pasaraya Robinsons (Pasaraya pertama) di Jalan Tun Perak. Gaji RM100 sebulan, (tapi teh tarik 10 sen, roti canai 10 sen masa itu!) membantu kawan sedarjah saya untuk melukis dan menghias showcase. Itulah pengenalan terawal kepada sesuatu yang berkaitan dengan set. Setiap perayaan, saya kena dekorasikan setor 4 tingkat dan membuat lukisan-lukisan bersaiz besar (antaranya 95 kaki x 5 kaki).

Pada 1965, saya membeli sebuah kamera dan mempelajari senifoto. Inilah yang mula memperkenalkan saya kepada bidang komunikasi melalui media "manipulated images". Pada tahun 1967, saya belajar sendiri dan menduduki peperiksaan SPM sekali lagi. Terperanjat bila lulus! (Tapi Gred 3 sahaja). Kebetulan ada iklan Filem Negara semasa itu. Saya mohon dan daripada 10 orang yang memohon, saya dipilih. Saya melukis tajuk filem dan terlibat dalam pembikinan set.

Pada tahun 1972, saya diminta untuk menerbitkan treler animasi untuk HARI X'MAS. Tak tahu animasi, menulis atau mengarah. Tak dapat tunjuk ajar. Mulalah gila nak buat animasi selepas itu. Antara treler yang menjadi popular dengan penonton selepas itu: NYAMUK AEDES, JIMATKAN ELEKTRIK dan ANTI-DADAH.

Pada tahun 1975, saja-saja ambil STPM. Dapat sijil saja. Tapi pendedahan mendalam pada sastera membuka mata saya terhadap teks filem. Dikaitkan dengan pengetahuan fotografi, maka datang minat kepada filem. Ikut sesi DIALOG CERDIK yag dianjur ANA, Johan Jaafar dan lain-lain, pada tahun 1983. Sebelum itu pada tahun 1978 saya terlibat dalam animasi untuk iklan filem/TV. Apabila dah bercampur dengan orang-orang pandai, maka kita dapatlah sikit ilmu. Buat iklan sehingga 1994. Yang terakhir SUGUS untuk Indonesia, Malaysia, Thailand dan HK. Menjadi Ketua Unit Senireka pada tahun 1981.


Menteri Penerangan minta saya buat filem animasi SANG KANCIL dan MONYET/BUAYA pada tahun 1983 selepas menonton filem HIKAYAT SANG KANCIL (arahan A. XAVIER). Tak pernah menulis, buat animasi atau mengarah filem naratif pendek. Buat juga. Meletup! Dapat buat 5 filem pendek sebelum bersara atas pilihan sendiri pada tahun 1995. Dapat 2 Anugerah SRI ANGKASA untuk IDEA TERBAIK dan TRELER TERBAIK. ANUGERAH JURI untuk DOKU TERBAIK di Festival Filem Asia-Pasifik, Jakarta dan VISUAL EFFECTS TERBAIK untuk animasi bagi filem MAT GELAP.


Pernah reka dua set untuk drama Tamil pada tahun 70-an. Selepas bersara, menulis, mengarah, buat 'prod design' dan menyelia 'Visual Effects' untuk SILAT LEGENDA, filem animasi pertama Malaysia. Pernah menjadi ahli panel juri beberapa festival filem tempatan dan sekali di Korea Utara (1998).



Bentangkan dua kertas kerja di Tokyo (1996 dan 2003). Menjalankan kursus/bengkel doku/animasi di India dan Sudan. Kini menjadi pensyarah sambilan di Universiti LimKokWing, One Academy, Go Academy dan Akademi Seni Kebangsaan.



We Appreciate Your Comments

2 Respones to "Tokoh Animasi Malaysia"

Arya Putra said...

Kagum gila! Bangga negara ni ada tokoh macam dia!


November 23, 2011 at 12:57 PM
Qz said...

kat negara malaysia ni ramai tokoh yang hebat2 cuma kita je x tau


November 23, 2011 at 3:51 PM

Post a Comment

Blog Fansub XLAWS

J-Rock | J-Pop | Visual-Kei Fansub
 
Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Edited By XLAWS